Thursday 17 May 2018

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN

17 MEI 2018 - Hari ini bersama 1 Ramadan 1439H yang jelas menerangkan bahawa seluruh umat Islam memulakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan.

Panitia Pendidikan Islam SK Paya Pasir telah merancang pelbagai aktiviti sempena Ramadan serta menyedarkan murid-murid akan kewajipan ibadah ini.

Tadarus Al-Quran antara program yang tidak ditinggalkan setiap tahun dan dilaksanakan pada waktu rehat berikutan murid-murid tidak ke kantin kerana berpuasa.

Seluruh warga SK Paya Pasir mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan.

HARI GURU 2018

16 MEI 2018 - Guru Pemacu Transformasi Pendidikan merupakan tema Hari Guru 2018 yang disambut sederhana pada tahun ini oleh warga pendidik SK Paya Pasir.

Dalam pada itu, acara membuat pizza oleh para guru menarik perhatian dan mengubah cara sambutan pada kali ini. Untuk itu seorang chef diundang khas untuk menjayakan program yang dirancang.


 



Manakala majlis pertukaran hadiah dalam kalangan warga sekolah adalah antara acara yang ditunggu-tunggu. Walaupun sambutan yang sederhana namun meriah dan sangat bermakna. 



Selamat Hari Guru. Terima Kasih, Cikgu.

Friday 13 April 2018

PROGRAM MENABUNG BERSAMA BANK RAKYAT

11 APRIL 2018 - Seramai 5 orang kakitangan Bank Rakyat Cawangan Jengka telah hadir atas jemputan Jawatankuasa Tabungan SK Paya Pasir untuk menanam sikap menabung dalam kalangan murid sekolah ini.

Untuk menarik ibu bapa menyertai program ini, PIBG telah bersetuju menyediakan peruntukan RM10.00 seorang murid bagi membuka akaun tabungan tersebut.


Seramai 55 orang murid telah menyahut seruan menabung ini dengan harapan menjadikan menabung satu budaya dalam kalangan murid sekolah ini.

SENAMROBIK BERSAMA MILO

10 APRIL 2018 - Program Senamrobik bersama Milo telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini. Semua murid SK Paya Pasir telah menyertai progran berkenaan dengan instuktor senamrobik dari Klinik Desa Kg Paya Pasir.

Selepas program senamrobik berkenaan, murid-murid telah dihidangkan dengan minuman bertenaga Milo.




Terima kasih Milo.

Saturday 7 April 2018

DINIE CEMERLANG DALAM MSSP

5 APRIL 2018, SK Paya Pasir telah melahirkan atlit yang disegani dan dikagumi dalam Kejohanan Olahraga MSSP 2018 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Haji Ahmad Shah UiTM Jengka.

Tidak perlu disebut namanya di sini, beliau telah meraih Johan 100m P12, Johan 200m P12, Gangsa 4 X 100m P12 dan 4 X 200m P12 yang melayakkan beliau dianugerahkan Atlit Terbaik P12 MSSP 2018. Beliau akan mewakili MSS Pahang ke peringkat MSSM yang pasti telah mengharum dan membanggakan sekolah ini.


Tahniah daripada seluruh warga SK Paya Pasir.

RMT CONTOH PPD MARAN

5 April 2018, SK Paya Pasir telah terpilih sebagai salah sebuah sekolah yang menjadi contoh di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi PPD Maran.


Seluruh warga SK Paya Pasir mengucapkan tahniah atas pemilihan ini. Selain daripada SK Paya Pasir terdapat sembilan lagi sekolah yang terpilih iaitu SK Maran, SK Sri Keramat, SK Bukit Bota, SK LKTP Jengka 19, SK LKTP Jengka 18, SK LKTP Jengka 3, SK LKTP Jengka 5, SK Bandar Pusat dan SK LKTP Jengka 13.

Tuesday 27 March 2018

MINGGU ANTIDADAH 2018

SK Paya Pasir melaksanakan Minggu Antidadah 2018 bermula 26 Mac 2018 hingga 30 Mac 2018 ini.

Program sepanjang minggu ini adalah satu program yang mendedah dan menyedarkan para pelajar sekolah ini tentang bahayanya dadah. Di samping itu, murid juga dididik melalui pelbagai aktiviti yang dapat menjana kefahaman dan kesediaan pelajar dalam menghadapi kehidupan di luar yang penuh dengan pengaruh-pengaruh persekitaran.

Pelancaran Minggu Antidadah SK Paya Pasir 2018 oleh Tuan Guru Besar
di Perhimpunan Pagi Isnin, 26 Mac 2018.
Kuiz Antidadah 2018 pada 27 Mac 2018

 



Berbagai aktiviti telah dirancang untuk hari berikutnya seperti Silang Kata/Mencari Perkataan, Sayembara Deklamasi Sajak, Pertandingan Esei Bahasa Inggeris, Mewarna / Melukis Poster dan Senamrobik serta gimik Penutupan.

CERMAH KESIHATAN

Dimulai dengan Ceramah Kesihatan Pergigian daripada Unit Kesihatan Pergigian Maran pada 26 Ferbruari 2018 dan diikuti dengan Ceramah Keselamatan Ubat oleh Unit Farmasi Jabatan Kesihatan Maran pada 28 Februari 2018.

Ceramah Kesihatan Pergigian
Ceramah Keselamatan Ubat
Warga sekolah mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Maran.

TAHNIAH OLAHRAGAWATI SEKOLAH

Tahniah kepada olahragawati sekolah Dinie Wazien kerana telah berjaya merangkul gelaran Olehrawati Harapan di MSSD Maran pada 1 Mac 2018 di Komplek Sukan UiTM Jengka.


Beliau akan mewakili daerah Maran ke MSS Pahang yang akan berlangsung dari 2 hingga 5 April 2018 di Komplek Sukan UiTM Jengka. Sekalung Tahniah daripada Warga SK Paya Pasir.


Tuesday 27 February 2018

KEJOHANAN OLAHRAGA SKPP 2018

24 FEBRUARI 2018 - Sekolah Kebangsaan Paya Pasir telah dimeriahkan dengan aktiviti tahunan yang dinanti-nanti iaitu Kejohanan Olahraga.

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh En. Khairudin, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Jengka.


Pada kali ini, Unit Kokurikulum SKPP dibawah kendalian GPK Kokurikulum En. Nor Azman telah merangka satu program yang khusus untuk memilih calon olahraga sekolah ke MSS Zon Luit yang berlangsung pada 27 Februari 2018.


MESYUARAT AGUNG PIBG

23 FEBRUARI 2018 - PIBG SK Paya Pasir telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-42 yang telah dirasmikan oleh YB Dato' Sri Dr. Hj. Ismail bin Hj. Abd. Muttalib, Ahli Parlimen Maran merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia.


Tuesday 13 February 2018

PERGINYA GURU BESAR PERTAMA SK PAYA PASIR

13 FEBRUARI 2018 - Haji Mohammad bin Haji Salleh yang merupakan Guru Besar SK Paya Pasir pada 1 Julai 1957 hingga 24 Januari 1971 telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini 13 Februari 2018.


Beliau yang merupakan guru besar sekolah ini telah banyak menabur jasa yang tidak terhingga dalam era awal kemerdekaan negara.

Allahyarham turut hadir semasa majlis persaraan Tn. Hj. Muhammad b. Hj. Abdullah
Seluruh warga sekolah mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatehah.

MOTIVASI BERSAMA EMPOWER ECER NBOS

2 FEBRUARI 2018 - Program pertama EMPOWER ECER NBOS di SK Paya Pasir telah berlangsung pada hari ini.

Kesemua murid Tahun 6 dengan diiringi ibu bapa masing-masing dan ditambah dengan penglibatan murid-murid lain SK Paya Pasir telah berjaya mengikuti Program Motivasi ini.

YDP PIBG BERSAMA PEGAWAI EMPOWER ECER 
Adalah menjadi harapan agar kecemerlangan dan kegemilangan SK Paya Pasir akan terus terserlah.

PEMANTAUAN GAPAI GEMILANG PPD MARAN

30 JANUARI 2018 - SK Paya Pasir telah dikunjungi oleh 8 orang Pegawai dari PPD Maran telah melaksanakan Program Capai Gemilang.





Warga SK Paya Pasir memandang serius segala pandangan dan teguran serta menjadikannya sebagai titik tolak kecemerlangan bagi tahun 2018 ini.

Wednesday 24 January 2018

PENYERAHAN WATIKAH LANTIKAN

22 JANUARI 2018 - Badan Disiplin dan Pengawas serta Badan Bimbingan dan Kaunseling di bawah Unit Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Paya Pasir telah melaksanakan Program Penyerah Watikah Lantikan kepada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Ketua dan Penolong Ketua Darjah bagi sesi persekolahan 2018 ini.



Majlis tersebut disertai oleh Pegawai Perhubungan Sekolah Lans/Koperal Nik Shahrul bin Zahib dari Balai Polis Pekan Awah. Beliau merupakan PPS bagi sekolah ini pada tahun ini.




Tahniah dan selamat menjalankan tugas dengan cemerlang dan amanah kepada semua peserta yang menerima watikah pelantikan dan beringat-ingat bahawa tanggungjawab adalah sesuatu yang berat untuk dipikul dalam memastikan tugas yang diterima dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Wednesday 10 January 2018

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI

Pada hari pertama persekolahan 2018 ini, SK Paya Pasir terasa sangat akan kekurangannya berikutan bertukar seorang guru yang begitu lama berkhidmat di sekolah ini. Semenjak memulakan tugas dalam bidang perguruan beliau telah di tempatkan di sekolah ini, namun tatkala menghitung saat dan ketika untuk berpencen beliau telah ditukarkan ke SK Kuala Sentul.

SK Paya Pasir sesungguhnya telah kehilangan seorang guru yang sangat berdidikasi, berketrampilan dan begitu berbakat. UPSR 2017 merupakan sumbangan akhir terbesar beliau yang membawa Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan dikuasai 100% oleh semua calon yang menduduki peperiksaan tersebut.

Foto Kenangan Cikgu Mohd Isha Ibrahim ketika melaksanakan Program DWEN 2017
Seluruh warga SK Paya Pasir mendoakan Cikgu Mohd Isha bin Ibrahim agar terus cemerlang dalam mendidik anak bangsa namun kami terasa amat kehilangannya kerana yang patah akan tumbuh tetapi yang tumbuh tidak akan sama dengan yang telah pergi. Selamat bertugas di tempat baru.

Seterusnya kita juga kehilangan PO Puan Akbri Rihani binti Chiraoh Din yang telah bersara pilihan mulai 1 Januari 2018. Ketiadaan beliau pada hari pertama persekolahan memang terasa benar satu kehilangan dalam kalangan warga sekolah ini kerana keletahnya yang adakalanya menjadi asam garam dan rencah dalam suasana di sekolah ini. Seluruh warga SK Paya Pasir mengucapkan selamat bersara dan sentiasa dalam kerahmatan dan keberkatan Ilahi selagi hayat dikandung badan.
Puan Siti Nor binti Yaakob telah mengambil alih tugas PO SK Paya Pasir dan seluruh warga SK Paya Pasir mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Bertugas.

Pn. Siti Nor Yaakob




KEMBALI KE SEKOLAH

2 JANUARI 2018 - Sekolah seluruh negara kembali dibuka dan beroperasi dengan azam dan semangat baru. SK Paya Pasir telah memulakan hari pertama persekolahan ini dengan Program Guru Penyayang iaitu dengan menyambut kehadiran murid agar terus segar dan bersedia ke sekolah bermula dengan hari pertama ini.




          Dalam gerimis pagi, perhimpunan ringkas telah berlangsung di dewan sekolah dan beberapa maklumat awal telah disampaikan oleh guru bertugas.


          Hari pertama persekolahan telah dipantau selia oleh Pegawai Pendidikan Daerah Maran dan juga merupakan hari pertama Program RMT dilaksanakan pada tahun 2018 ini.


          Seluruh warga SK Paya Pasir mengalu-alukan kehadiran murid-murid dengan semangat dan azam dalam merealisasikan segala visi dan misi sekolah ini.