Monday 27 February 2017

PERGINYA KE SEKOLAH BARU

27 FERBRUARI 2017 - Pada pagi ini, keberadaan seorang Ustaz yang juga Guru Penolong Kanan SK Paya Pasir telah tiada lagi kerana beliau kini telah bertukar ke SK LKTP Jengka 5.


Sungguhnya segala jasa yang disemai pasti bercambah membuahkan hasil-hasil gemilang penuh dengan memori dan nostalgia tatkala di SK Paya Pasir ini.


Selamat bertugas di tempat baru kepada Ustaz Shukran bin Othman dari kami seluruh warga SK Paya Pasir.

Sunday 26 February 2017

SARANA DAN SUKAN TAHUNAN

25 FEBRUARI 2017 - SK Paya Pasir terus mengukir aktiviti tahunan 2017 pada hari ini dengan menjayakan Kejohanan Balapan dan Padang yang biasanya dikenali sebagai Sukan Tahunan.

Pada tahun ini, acara padang telah dimulakan lebih awal iaitu bagi acara Lompat Jauh, Lompat Tinggi dan Lontar Peluru. Oleh itu, acara-acara balapan sahaja dipertandingkan yang turut disertai oleh pasukan jemputan dari sekolah-sekolah sekitar dan terdekat.

Manakala PIBG yang gigih menjayakan sukan pada tahun ini telah mempertaruhkan 10 acara tambahan untuk pegawai sukan, belia dan beliawanis, ibu bapa dan penjaga murid-murid SK Paya Pasir.





Kalungan tahniah sewajarnya disampaikan berikutan kejayaan Program Sarana PIBG melalui aktiviti sukan ini.


Pengerusi Majlis Belia Pahang Encik Khairul Amin telah merasmikan program yang sungguh meriah dan penuh dengan semangat kesukanan.

Thursday 23 February 2017

SSPN INSENTIF GERAN SEPADAN

22 Februari 2017 - Pihak sekolah telah mengalu-alukan kedatangan Encik Mohd Zamri merupakan wakil SSPN yang seterusnya telah menyampaikan taklimat ringkas berkenaan Skim Simpanan Pendidikan Nasional dan pemberian Insetif Geran Sepadan RM50.00 kepada murid Tahun 1 yang melibatkan syarat-syarat tertentu.


Tahniah kepada yang telah membuka tabungan tersebut sebagai persediaan masa depan pendidikan anak-anak. Program ini berlangsung serentak dengan Program Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia dan Yayasan Pahang.

Sila klik GALERI untuk ikuti koleksi foto aktiviti.

Friday 17 February 2017

PERJUMPAAN IBU BAPA DAN PENJAGA MURID TAHUN 6

17 FEBRUARI 2017 - Satu perjumpaan ibu bapa/penjaga dalam kalangan murid-murid Tahun 6 sekolah ini diadakan pada hari ini.






Perjumpaan ini merupakan perubahan tarikh yang ketiga berikutan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan terutama bencana banjir yang melanda sekolah awal bulan ini.


Semoga perjumpaan dan taklimat daripada pihak sekolah dengan kerjasama PIBG ini akan dapat membuahkan hasil perbincangan dan percambahan fikiran bernas yang akan membawa kepada kecemerlangan bagi UPSR 2017 ini.

Tuesday 14 February 2017

SAMBUTAN HARI LAHIR BULAN JANUARI DAN FEBRUARI

14 FEBRUARI 2017 - Jawatankuasa Guru Penyayang dan Kempen Sifar Ponteng telah menghadiahkan sebuku kek serta cenderahati kepada 25 orang murid dan 3 orang guru yang memiliki tarikh lahir dalam lingkungan bulan Januari dan Februari 2017.





Semoga sambutan sebegini akan menanam semangat dalam kalangan guru dan murid untuk sayang-menyayangi, hadir ke sekolah, seterusnya menjalin hubungan yang membawa kejayaan cemerlang kepada diri masing-masing.

Tahniah dan InshaAllah program ini akan diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.

Sila klik GALERI untuk ikuti info dan gambar aktiviti.

Monday 13 February 2017

GOTONG-ROYONG SARANA PIBG

11 FEBRUARI 2017 - Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Paya Pasir sekali lagi mengadakan gotong-royong pascabanjir.





Sebagai satu badan yang mengiringi dan membantu sekolah, PIBG sesungguhnya sangat berperanan dalam memastikan pembelajaran anak masing-masing mencapai hasrat kementerian, jabatan, sekolah dan diri mereka selaku ibu bapa dan penjaga anak-anak.

Tahniah dan terima kasih kepada semua yang sentiasa melibatkan diri dan mengambil berat perihal anak-anak.

Sila klik GALERI untuk info dan gambar aktiviti.

MOTIVASI PELAJAR DAN KEIBUBAPAAN 2017

10 FEBRUARI 2017,  Unit Kecemerlagan UPSR 2017 SK Paya Pasir telah menganjurkan Program Motivasi dalam kalangan pelajar dan ibu bapa sebagai satu strategik dan kaedah membangunkan pelajar yang bersedia dalam mengharung masa-masa mendatang seterusnya memperoleh kecemerlangan dalam UPSR kelak.





  Warga SK Paya Pasir sentiasa mendoakan kecemerlangan UPSR 2017.

Sila klik GALERI untuk ikuti info dan gambar aktiviti.

Monday 6 February 2017

PROGRAM MENTOR MENTEE 2017

Setelah selesai majlis Jom Ke Sekolah, aktiviti di sekolah ini diteruskan dengan pelancaran Program Mentor Mentee di bawah kendalian Unit Bimbingan dan Kaunseling.





Setiap guru yang merupakan Mentor telah menerima Mentee masing-masing dan merancang sesuatu yang mampu membawa perubahan kedalam diri mentee masing-masing agar bersedia menghadapi UPSR 2017 seterusnya membawa kecemerlangan kepada diri murid dan sekolah, Insha Allah.

Sila klik GALERI untuk info dan gambar aktiviti.

JOM KE SEKOLAH 2017

7.30 pagi bermulalah program Jom Ke Sekolah peringkat sekolah yang turut disambut di seluruh negara secara serentak pada pagi ini.




SK Paya Pasir telah didatangi Yang Setia L/K Aminuddin dari Balai Polis Kampung Awah selaku Pegawai Perhubungan Sekolah yang telah membaca teks Ketua Polis Negara seterusnya Tuan Guru Besar pula membaca teks Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan seterusnya merasmikan Program Jom Ke Sekolah ini.

Program ini diharapkan dapat menyedarkan murid akan kepentingan hadir ke sekolah dan mengelakkan diri daripada terbabit dengan jenayah. Sehubungan itu, Peti Aduan Disiplin diwujudkan bagi menerima sebarang aduan yang melibatkan masalah disiplin di sekolah dan pihak sekolah boleh menjalankan siasatan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan.

Sila klik GALERI untuk info dan gambar aktiviti.

GURU PENYAYANG 2017

6.50 pagi 6 Februari 2017, Program Guru Penyayang telah dijalankan pada pagi ini. Awal-awal pagi guru telah menunggu kehadiran murid-murid ke SK Paya Pasir dengan menyambut dan menggalakkan kehadiran mereka.





Setiap murid dihadiahkan sebuah buku tulis sebagai ingatan program ini yang diserahkan oleh guru kepada setiap murid yang hadir pada awal pagi. Kata-kata galakan kehadiran yang melambangkan kasih sayang kepada murid turut diluahkan agar murid lebih yakin hadir ke sekolah setelah sekolah ditutup akibat bencana banjir yang dialami sekolah ini pada minggu lepas.

Sila klik GALERI untuk info dan gambar aktiviti.

Sunday 5 February 2017

SKPP DAN BANJIR

2014 meninggalkan kesan yang mendalam kepada warga SKPP. Pada tahun itu, SKPP dilanda banjir besar yang menenggelamkan sekolah. Semenjak itu, setiap pengujung minggu persekolahan setiap tahun warga SKPP akan bergotong-royong memunggah barangan, termasuk dokumen dan perabot untuk ditempatkan di tingkat kedua bangunan sekolah ini. Namun pada pengujung tahun 2015 dan 2016 hujan yang turun tidak menyebabkan banjir.

Tetapi semenjak 23 Januari 2017, hujan mula turun dan ada kalanya tidak berhenti. Pada hari Rabu 25 Januari, hari terakhir sebelum Cuti Persekolahan yang agak panjang sempena Tahun Baru Cina, pihak pentadbiran telah mengambil langkah bijak dengan memunggah sebahagian besar perabut dan dokumen penting.

Apabila berita memulakan laporan tentang banjir di Pantai Timur, pada hari Sabtu  28 Januari 2017, kami mula bertindak dengan lebih yakin termasuk pihak pengurusan kantin sekolah apabila beberapa kawasan di sekitar Paya Pasir mula dinaikinair.


Seterusnya air terus naik dan menenggelamkan dataran dan menyebabkan kuarters guru tidak wajar diduduki.



Paras air terus meningkat dan membautkan SKPP diistihar sekolah yang ditengelami banjir serta tidak dapat beroperasi untuk persekolahan pada 1 Februari 2017.


Sebahagian guru telah melapor diri di sekolah-sekolah berhampiran.



Kami menerima situasi ini dengan redha dan memulakan pembersihan sekolah sejak 1 Februari hingga sekolah dibuka semula 6 Februari 2017.



Segenap warga SKPP mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah mencurahkan keringat, tenaga, wang, dan masa dalam memastikan sekolah ini akan beroperasi dengan sebaik mungkin Isnin ini 6 Februari 2017.

Sila klik GALERI untuk info dan gambar aktiviti.